Tuesday, 1 November 2016

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 :ANJAKAN 4

Anjakan 4:
Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan 
Mengapakah perlu?: 
Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa kualiti guru merupakan faktor berasaskan sekolah yang paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid. Kualiti sistem tidak boleh melangkaui kualiti guru. Walaupun terdapat guru yang cemerlang dalam sistem pendidikan Malaysia, kajian tahun 2011 mendapati bahawa hanya 50% pengajaran disampaikan dengan berkesan. 

Hal ini bermakna pengajaran mata pelajaran tidak melibatkan murid secukupnya, dan penyampaiannya lebih pasif. Mata pelajaran yang diajar lebih berfokus kepada pemahaman yang tidak mendalam dan tidak memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi. Statistik ini juga menunjukkan cabaran besar yang dihadapi kerana lebih kurang 60% guru pada hari ini akan terus mengajar bagi tempoh 20 tahun lagi. Apakah bentuk kejayaan?: Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30% terbaik dalam negara untuk menceburi bidang keguruan. 

Guru pelatih akan menerima latihan yang sebaik mungkin dari mula mereka mengikuti program latihan sehingga mereka bersara. Mereka akan memperoleh peluang pembangunan kerjaya yang menarik merentas beberapa laluan kerjaya, dengan kemajuan berasaskan prestasi dan kompetensi, bukan bergantung kepada tempoh perkhidmatan. Sistem pendidikan akan mewujudkan budaya bimbingan rakan sejawat untuk meningkatkan kecemerlangan profesional menerusi pementoran, pembangunan dan perkongsian amalan terbaik, serta meningkatkan kebertanggungjawaban rakan sejawat dalam memenuhi standard profesional kerjaya. 

Mengetatkan syarat lantikan guru mulai 2013 supaya dalam kalangan graduan 30% teratas. Pada masa depan, hanya calon terbaik sahaja yang akan dipilih untuk mengikuti latihan perguruan. Hal ini bermakna Kementerian akan melaksanakan standard kemasukan ke profesion keguruan yang ketat bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat kelayakan minimum akademik. 

Kementerian akan bekerjasama dengan KPT bagi memastikan standard yang sama digunakan dalam program latihan perguruan di institut pengajian tinggi awam. Bagi memenuhi hasrat melahirkan guru berkualiti, Kementerian juga akan bekerjasama dengan Institut Pendidikan Guru dan KPT untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah ditingkatkan. Meningkatkan kualiti CPD mulai 2013, dengan lebih tumpuan ke atas keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah. Guru akan menerima sokongan yang lebih besar untuk membantu mereka mencapai potensi penuh. Guru akan mendapat latihan CPD individu daripada penyelia mereka apabila memulakan profesion. 

Program CPD termasuk latihan komponen teras dan komponen elektif mengikut keperluan pembangunan diri masing-masing. Kebanyakan program ini akan dijalankan di peringkat sekolah kerana latihan berasaskan sekolah terbukti sangat berkesan. Program ini akan menggunakan jaringan rakan sejawat termasuk pembimbing guru, guru kanan, dan pengetua/ guru besar untuk menyebar luas amalan terbaik. Latihan ini membolehkan guru terus meningkatkan tahap kemahiran mereka selaras dengan tahap kecekapan yang jangkakan daripada seseorang guru. Memastikan guru memberi tumpuan ke atas fungsi teras pengajian mulai 2013 dengan mengurangkan beban pentadbiran. 

Guru akan menikmati pengurangan beban tugas pentadbiran supaya mereka boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka pada fungsi pengajaran teras. Perkara ini akan dapat dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan dan pengurusan data sedia ada. Sesetengah tugas pentadbiran akan diserahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru pentadbiran peringkat sekolah. 

Guru akan ditaksir secara tahunan oleh pengetua/guru besar mereka dengan menggunakan input yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat. Pentaksiran ini akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen penilaian baharu, yang memberi Antumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan di luar bilik darjah. Instrumen baharu ini memberikan gambaran yang lebih jelas bahawa tugas utama guru adalah membantu pembelajaran murid. Guru berprestasi tinggi akan menikmati kemajuan kerjaya yang lebih pantas. Guru yang cemerlang mungkin akan dinaikkan pangkat daripada gred DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih singkat, kurang daripada 25 tahun yang merupakan purata kenaikan pangkat semasa. Guru yang menghadapi kesukaran dalam mencapai tahap kualiti minimum akan diberikan bimbingan tambahan bagi membantu mereka berada pada landasan yang betul. Guru yang masih gagal mencapai tahap kualiti minimum, walaupun telah diberikan bimbingan tambahan, akan ditugaskan semula untuk menjalankan fungsi yang lain seperti membantu pentadbiran, pengurusan disiplin atau pengurusan kokurikulum. Dari semasa ke semasa, Kementerian akan mengurangkan jumlah kohort guru secara berperingkat melalui penambahbaikan dalam penggunaan masa dan produktiviti guru. 

Guru juga boleh memilih untuk meneruskan laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi, potensi dan minat mereka. Sebagai contoh, mereka boleh memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan di peringkat sekolah, daerah, negeri atau persekutuan. Mereka juga boleh memilih untuk menjadi pakar dalam bidang tertentu seperti pembangunan kurikulum, pentaksiran, dan program latihan untuk sistem yang lebih luas. Mereka juga boleh berperanan sebagai guru pakar di sekolah. Tanpa mengira laluan kerjaya yang dipilih, komitmen untuk melabur dalam pembangunan guru dan dalam membina persekitaran kebertanggungjawaban profesional akan diteruskan dalam semua laluan kerjaya ini. 

Peluang untuk kenaikan pangkat adalah sama tanpa mengira laluan kerjaya yang dipilih. Membudayakan kecemerlangan berasaskan pimpinan rakan sekerja dan proses pensijilan mulai 2025. Kementerian akan memberikan tumpuan kepada usaha memastikan semua guru menggunakan sepenuhnya keluwesan yang diberikan dalam isu berkaitan penjadualan kurikulum, penyusunan pengajaran, pendekatan pedagogi dan pentaksiran berasaskan sekolah. Kementerian juga memudahkan aktiviti CPD yang dilaksanakan oleh guru bagi membolehkan guru membimbing satu sama lain, membangunkan dan menyebarluaskan amalan terbaik, dan sama-sama bertanggungjawab bagi mencapai standard profesional. Kementerian juga akan mempertimbangkan untuk mewujudkan skim pensijilan yang dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru seperti yang diterangkan di atas. Dengan semua langkah ini, Kementerian akan berkerjasama dengan wakil guru untuk memastikan matlamat tercapai.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 : ANJAKAN 2

Anjakan 2: 
Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
Mengapakah perlu?:
 Kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia mewujudkan persekitaran semula jadi yang kondusif untuk melahirkan murid yang mahir dalam lebih daripada satu bahasa. Sistem pendidikan semasa dapat meningkatkan keberhasilan murid melalui bahasa Malaysia. Penguasaan kemahiran berbahasa Malaysia adalah meluas dalam kalangan murid, dengan 75% murid mencapai tahap minimum kredit dalam peperiksaan SPM 2010. Bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran teras dalam UPSR kekal berada pada tahap kadar lulus yang tinggi. Pencapaian yang sama wujud di peringkat PMR dan SPM. Tahap pencapaian penggunaan bahasa Inggeris bagaimanapun adalah jauh lebih rendah, hanya 28% murid mendapat kredit minimum dalam kertas Bahasa Inggeris SPM tahun 2011 yang ditanda berdasarkan standard Kertas 1119 Cambridge. Kelemahan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan siswazah baharu merupakan satu daripada lima isu yang sering dihadapi oleh majikan di Malaysia sejak tahun 2006.


Penyertaan murid dalam sekolah rendah yang berlainan membawa kepada keberhasilan yang berbeza dalam kalangan murid pelbagai etnik. Murid Bumiputera menunjukkan pencapaian yang baik dalam Bahasa Malaysia, iaitu 84% mendapat kredit minimum dalam SPM, berbanding 63% daripada murid Cina dan 57% daripada murid India. Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, hanya 23% murid Bumiputera, 42% murid Cina dan 35% murid Tamil memperoleh tahap skor yang sama atau lebih tinggi daripada skor untuk Kertas Cambridge 1119 (semua keputusan berdasarkan peperiksaan SPM 2010). 

Apakah bentuk kejayaan?: Meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris semua murid akan menjadi keutamaan yang paling penting. Selepas tiga tahun persekolahan, setiap murid akan mencapai 100% literasi asas dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Setelah tamat Tingkatan 5, 90% daripada murid dijangkakan memperoleh skor kredit minimum dalam Bahasa Malaysia, manakala 70% memperoleh skor kredit minimum dalam kertas Bahasa Inggeris SPM (berdasarkan standard Cambridge 1119). Tambahan lagi, penyediaan mata pelajaran bahasa lain di semua sekolah rendah dan menengah akan diperkukuhkan supaya setiap murid berpeluang mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025.

Memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama pada peringkat rendah, dengan sokongan pemulihan intensif untuk murid yang memerlukan bagi menggantikan kelas Peralihan. Setiap murid sekolah rendah, sama ada di sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan akan menggunakan kurikulum bahasa Malaysia yang standard mulai kohort Tahun 4 pada tahun 2014. Di sekolah jenis kebangsaan, murid yang menghadapi masalah dengan perubahan ini akan mengikuti kelas pemulihan bahasa Malaysia selepas waktu persekolahan bermula dari Tahun 4 hingga Tahun 6, selepas menjalani program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) 2.0. Objektif kelas pemulihan ini adalah sebagai intervensi awal, dan kerap dijalankan bagi membolehkan Kelas Peralihan ditamatkan mulai tahun 2017.

Memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Setiap murid Tahun 1 hingga Tahun 3 akan disaring dua kali setahun bagi memastikan kemajuan mereka dalam literasi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris berada pada kadar yang dijangkakan. Murid yang ketinggalan akan mengikuti kelas pemulihan sehingga mereka dapat mengikuti kurikulum aliran perdana. Guru yang mengajar murid yang lemah ini akan menerima bimbingan khusus daripada pembimbing guru peringkat daerah. Meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dan memperluaskan peluang bagi pendedahan terhadap bahasa Inggeris. Setiap murid akan mengikuti pembelajaran bahasa Inggeris yang disampaikan oleh guru yang mempunyai kemahiran mengikut standard antarabangsa. 

Langkah ini akan dapat dicapai dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif bagi meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa melalui modul Sastera Inggeris yang diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa tempoh pendedahan yang lebih lama berbanding kadar kini (15%-20%) diperlukan bagi murid menguasai bahasa Inggeris. Menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025. Pada masa ini, ramai murid yang telah mempelajari bahasa tambahan selain bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. 

Penguasaan bahasa tambahan akan dapat membantu murid menyertai tenaga kerja global. Oleh itu, aspirasi Kementerian adalah bagi memastikan setiap murid berpeluang mempelajari bahasa tambahan dari peringkat rendah sehingga peringkat menengah. Pada tahun-tahun permulaan, Kementerian akan memberikan tumpuan untuk menambahkan bilangan guru bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Arab bagi memastikan bilangan guru bahasa-bahasa itu sepadan dengan bilangan murid. Apabila sistem pendidikan negara dapat meningkatkan kebolehan dan keupayaan, Kementerian akan memperkenalkan bahasa penting lain seperti bahasa Sepanyol, bahasa Perancis dan bahasa Jepun. 

Membangunkan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam 1 Sukan, 1 Kelab dan1 Badan Beruniform. Pelibatan dalam aktiviti kokurikulum memberikan murid peluang untuk membangunkan bakat dan minat mereka di luar persekitaran bilik darjah yang formal. Aktiviti seperti ini juga menyediakan peluang yang baik untuk membangunkan kemahiran kepimpinan murid. Oleh itu, setiap murid dijangkakan akan mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 1 sukan, 1 kelab dan 1 badan beruniform. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan pelibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi. Bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di setiap sekolah, Kementerian akan memberikan latihan khas kepada guru penasihat aktiviti. Kerjasama dengan lebih banyak organisasi komuniti dan sektor swasta akan dijalinkan bagi melaksanakan program ini. 

Pada hari ini, Kementerian menjalankan program aktiviti rentas sekolah, iaitu RIMUP bagi memupuk interaksi yang lebih kukuh antara murid dari berlainan jenis sekolah. Pada masa hadapan, kekerapan dan intensiti program akan ditingkatkan dan disasarkan kepada sekolah yang mempunyai populasi murid yang homogen seperti sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama. Kementerian juga akan memperluaskan program ini dengan melibatkan sekolah swasta. Anja

ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN

Aspirasi sistem pendidikan 
Terdapat lima hasil yang ingin dicapai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan: 
a) akses, 
b) kualiti, 
c) ekuiti, 
d) perpaduan dan 
e) kecekapan (Ekshibit 2-1). 
Dalam konteks Malaysia, aspirasi ini muncul daripada kandungan laporan pendidikan yang bersejarah dan masih relevan, sama seperti ketika mula-mula direncanakan. Pada tahun 1956, Laporan Razak merencanakan suatu sistem pendidikan kebangsaan yang menjamin tempat di sekolah untuk semua kanak-kanak tanpa mengira etnik atau latar belakang sosioekonomi, dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang menghargai perpaduan dalam kepelbagaian. Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji pelaksanaan dasar pelajaran. Laporan ini juga menegaskan semula matlamat Malaysia terhadap sistem pendidikan berfokuskan pendidikan murid secara holistik, dan menyediakan negara untuk masa depan. 
Terbaru, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan. Kelima-lima teras asas ini juga selari dengan aspirasi Dialog Nasional. Tindakan dalam melaksanakannya penting dan tiada satu pun inisiatif pelaksanaan seharusnya mengganggu atau menjejas kemajuan aspirasi lain. 

PEMBELAJARAN ABAD KE-21



PENGENALAN

Pada abad ke-21 ini, negara kita menghadapi isu dan cabaran dalaman serta luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Informatian and Communications Technology). Antara cabaran negara adalah untuk membangunkan satu sistem ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi bagi menghadapi persaingan dengan negara lain. K-ekonomi ini memerlukan sokongan padu daripada sektor pendidikan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang.

Hakikatnya, sekolah-sekolah di Malaysia sekarang menghadapi masalah menyedia dan mengeluarkan  sumber manusia atau tenaga kerja yang berkualiti.  Syarikat-syarikat perniagaan dan juga agensi-agensi kerajaan terpaksa menerima pekerja yang tidak kreatif dan kurang kemahiran dalam menyelesaikan masalah, bekerja secara kolaboratif dan mengurus masa.  Situasi yang kita hadapi ini adalah masalah semasa.  Perubahan yang sedang kita hadapi dalam politik, ekonomi, teknologi dan iklim akan menjadi lebih dramatik pada masa akan hadapan.  Oleh itu, pendidikan di Malaysia sekarang perlu membekalkan generasi muda dengan kemahiran-kemahiran tertentu bagi menyediakan mereka dengan cabaran abad ke-21.

Thomas Friedman dalam bukunya The World Is Flat : A Brief History of the Twenty-First Century, menyatakan pendidikan turut memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21 ini.  Alvin Toffler pula dalam bukunyaPower Shift : Knowledge, Wealth and Power at the Edge of The 21st Century menyatakan bahawa 'the illiterate of the 21st century are not those that cannot read or write, but those that cannot learn, unlearn and relearn.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM) bagi menyediakan murid menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21. Antara fokus PPPM ialah enam (6) aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional.  Ini adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pegangan pelaksanaan sistem pendidikan di negara kita. 

RASIONAL

Keperluan kepada Pembelajaran Abad Ke-21 merupakan salah satu tuntutan untuk menjayakan PPPM.  Sehubungan itu, satu program yang komprehensif akan dilaksana oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi memastikan warga pendidik negeri Johor dapat melahirkan generasi muda yang mampu bersaing dan menangani cabaran di peringkat global.  Kertas kerja ini disediakan sebagai cadangan mencadangkan untuk melaksanakan Pembelajaran Abad ke-21 di sekolah-sekolah negeri Johor . 


MATLAMAT

Program Pembelajaran Abad Ke-21 dilaksanakann untuk melahirkan murid yang mampu bersaing dan dapat menangani cabaran di peringkat global.

OBJEKTIF

Membangunkan persekitaran bilik darjah abad ke-2 

Meningkatkan kemahiran guru menggunakan pedagogi abad ke-21  

Memberi kemahiran pembelajaran abad ke-21 kepada murid-murid

Membudayakan amalan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) sebagai strategi pelaksanaan Pembelajaran Abad Ke-21 di sekolah 


PEMBELAJARAN ABAD KE-21

Menurut Martha Hampson dan rakannya dari Innovation Unit, United Kingdom, terdapat sepuluh (10) idea yang praktikal boleh digunakan  oleh pengurus sekolah untuk melaksanakan pembelajaran abad ke-21 iaitu:

Open up lessons ; 

Menghabiskan sukatan pelajaran dalam masa yang ditetapkan merupakan masalah utama semua guru di sekolah.  Sama ada murid memperoleh kemahiran tertentu atau sebaliknya menjadi perkara kedua.   Dalam pembelajaran abad ke-21, pembelajaran secara individu atau kumpulan perlu dirancang secara fleksibel dan tidak terlalu rigid.  Murid hendaklah diberi peluang dan masa yang mencukupi untuk menyelesaikan tugasan yang diberi dan seterusnya mencapai objektif yang ditetapkan oleh guru.  Guru pula perlu menyokong dan memantau sepanjang proses pembelajaran.

Think outside the classroom box; 

Menjadi kebiasaan setiap bilik darjah, murid akan duduk dalam barisan di meja masing-masing mengadap guru.  Susunan sebegini dibuat bagi menyenangkan guru menyampaikan maklumat secara berkesan kepada sekumpulan murid. Keadaan ini sesuai apabila guru merupakan sumber utama kepada murid. Namun, keperluan kemahiran abad ke-21 seperti penyelesaian masalah secara kolaboratif, teknologi maklumat, literasi maklumat dan ekonomi, memerlukan kaedah pengajaran yang baru.  Peranan guru bukan lagi sebagai penyampai maklumat tetapi membimbing, berbincang, dan mentaksir perkembangan seseorang murid dan seterusnya memberi sokongan.  Oleh itu, konsep sesebuah bilik darjah lebih kepada bilik sumber di mana maklumat senang diakses dan mempamerkan hasil-hasil kerja murid.  Susunan meja dan kerusi bilik darjah perlu sesuai untuk aktiviti berkumpulan  seperti  perbincangan,  eksperimen dan kajian.

Get personal; 

Selalunya kita menganggap murid yang memerlukan perhatian khusus ialah murid berkeperluan khas (special educational needs) seperti murid masalah pembelajaran (slow learners).  Hakikatnya semua murid sebenarnya memerlukan perhatian khusus kerana mempunyai keupayaan pelbagai.  Walau bagaimanapun, guru menghadapi kekangan masa untuk menangani keperluan murid secara induvidu.   Dalam pembelajaran abad ke-21, pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) memberi peluang dan tanggungjawab kepada murid melaksanakan projek mengikut minat, kreativiti dan kemahiran masing-masing.

Tap into students’ digital expertise; 

Teknologi telah mengubah cara kita mengakses maklumat. Apa lagi bagi generasi muda yang lahir dalam era teknologi yang canggih.  Generasi sekarang secara semula jadi merupakan seorang penyiasat, penyelidik dan juga pengumpul maklumat.  Kemahiran-kemahiran ini sepatutnya digunakan oleh guru dalam merancang pembelajaran kendiri (Self-access Learning), pembelajaran berasaskan inquiri (Inquiry-based Learning) dan kerja secara kolaboratif (Peer Collaboration).  Hasil kerja murid boleh dijadikan sebagai showcases terbaik apabila projek yang dihasil melibatkan audio, teks, imejan dan video.

Get real with projects;

Penyediaan sesuatu projek melibatkan tiga (3) langkah penting iaitu proses penyediaan draf (lebih dari sekali),  perbincangan/sumbangsaran/kritikan dan  persembahan/pameran.  Ketiga-tiga proses ini adalah kritikal kerana akan menghasilkan kualiti kerja yang sangat tinggi oleh murid dan juga guru.  Projek sebegini akan memberi pengalaman kepada murid bekerja dalam kumpulan, mengurus masa dan membuat persembahan/pameran kepada rakan lain/guru/ibu bapa atau pihak luar.

Expect (and help) students to be teachers;

Murid perlu diberi peluang terlibat secara aktif menjadi mentor dan pembimbing kepada rakan sebaya.  Kaedah yang digunakan ini akan lebih relevan dan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran berkomunikasi  dan jati diri murid tersebut.

Help (and expect) teachers to be students;

Guru sebenarnya sangat ghairah untuk mendapat sebanyak mungkin ilmu bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang pendidikan.  Untuk itu, platform yang sesuai perlu disediakan kepada guru-guru sama ada di peringkat sekolah, daerah atau jabatan.  Pembelajaran melalui kajian perlu menjadi amalan dalam kalangan guru untuk inovasi dan juga peningkatan dalam kualiti pengajaran serta pencapaian murid.

Measure what matters;

Keupayaan untuk menyimpan maklumat dan fakta menjadi kurang relevan dalam era digital sekarang.  Sebaliknya, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), memperoleh, menganalisis dan menyusun maklumat adalah lebih penting.  Begitu juga dengan kemahiran bekerja dalam kumpulan, mengguna ikhtiar, menyelesai masalah dan kreatif.  Semua kemahiran ini sangat diperlukan dalam abad ke-21. Oleh itu, pentaksiran yang dilaksana oleh guru juga perlu berfokus kepada kemahiran-kemahiran tersebut.

Work with families, not just children;

Terdapat hubungan yang signifikan antara penglibatan ibu bapa dengan pencapaian murid. Penglibatan ibu bapa dan komuniti di sekolah merupakan perkongsian akauntabiliti dalam pencapaian dan pembangunan murid-murid.  Sebagai contoh, Mayfield Primary School di London memberi peluang kepada ibu bapa selama 30 minit untuk belajar bersama dengan anak-anak mereka waktu persekolahan.  Terdapat sekolah yang melibatkan ibu bapa dalam penyediaan projek oleh anak-anak mereka seperti membuat persembahan atau pameran.  Jaringan sosial seperti Facebook perlu diwujudkan sebagai platform untuk perbincangan dan menyampaikan maklumat terkini kepada ibu bapa tentang program yang dijalankan di sekolah.

Power to the student;

Murid merupakan rakan kongsi yang berpotensi dalam pembelajaran.  Melibatkan murid dalam beberapa pengurusan pendidikan (terutama isu yang melibatkan murid) sebenarnya melatih mereka bertanggungjawab, berminat dan menjadi warga negara yang aktif apabila dewasa kelak. Jika ini dilaksanakan, bermakna sekolah telah berjaya mewujudkan budaya di mana semua warga sekolah dilibatkan dalam pendidikan dan pembelajaran. 

Kemahiran pembelajaran dan  pembelajaran (PdP) yang terdapat  dalam abad ke-21 ialah: 
  1. Kemahiran pembelajaran dan inovasi (Learning and innovation skills)
  2. Kemahiran maklumat, media dan teknologi (Information, media and technology skills)
  3. Kemahiran hidup dan kerjaya (Life and career skills) 
Elemen-elemen yang terkandung dalam kemahiran abad ke-21 ialah: 
  1. Kreativiti dan Inovasi (Creativity and Innovation)
  2. Pemikiran kritis dan Penyelesaian Masalah (Critical Thinking and Problem Solving)
  3. Komunikasi dan Kolaborasi (Communication and Collaboration)
  4. Literasi Maklumat (Information Literacy)
  5. Literasi Media (Media Literacy)
  6. Literasi Teknologi, Maklumat dan Komunikasi (TMK) (ICT (Information, Communications and Technology Literacy)
  7. Fleksibiliti dan mempunyai keupayaan menyesuaikan diri (Flexibility and Adaptability)
  8. Berinisiatif dan Mempunyai Haluan Diri (Initiative and Self-Direction)
  9. Kemahiran Sosial dan Antara-Budaya (Social and Cross-Cultural Skills)
  10. Produktiviti dan Akauntabiliti (Productivity and Accountability)
  11. Kepimpinan dan Tanggungjawab (Leadership and Responsibility) 
Guru-guru abad ke-21 perlu mempunyai ciri-ciri guru berikut: 
  1. Menguasai subjek (Kandungan Kurikulum)
  2. Mahir dan berketerampilan dalam pedagogi
  3. Mengesan perkembangan murid-murid dan menyokong mereka
  4. Memahami psikologi pembelajaran (Cognitive Psychology)
  5. Memiliki kemahiran kaunseling
  6. Menggunakan teknologi terkini 
Manakala ciri-ciri murid yang diharapkan hasil pembelajaran abad ke-21 ialah:
  1. Berupaya membuat hubung-kait
  2. Bijak menyoal
  3. Yakin berkomunikasi
  4. Mengambil risiko
  5. Dahagakan ilmu
  6. Ingin tahu
  7. Menjana idea
  8. Fleksibel
  9. Tidak berputus asa
  10. Mendengar dan membuat refleksi
  11. Berkemahiran kritis
  12. Menguasai kemahiran literasi
  13. Berani mencuba
  14.  Mampu berfikir sendiri
  15. Membuat inisiatif
  16. Mampu bekerja dengan orang lain
  17. Membuat perubahan
  18. Berintegriti
  19. Berkeperibadian tinggi

BILIK DARJAH ABAD KE-21

Konsep bilik darjah abad ke-21 yang akan dibangunkan ialah:  
  1. Mentransformasikan bilik darjah dengan ruang pembelajaran kreatif hasil usaha murid supaya menarik dan bermakna.
  2. Suasana atau iklim bilik darjah dapat merangsang murid untuk bersaing, belajar secara koperatif dan memperoleh kemahiran kolaboratif.

Prasarana / Fizikal bilik darjah abad ke-21 yang dicadangkan ialah: 
Bilik darjah sebagai bilik sumber 
  1. Murid duduk dalam kumpulan (4 – 6 orang). 
  2. Jika boleh, bilik darjah dilengkapi komputer yang dirangkaikan (2 atau 3 unit) – Instant Access / Interactive/ dilengkapi LCD dan / atau direct projector / Papan putih /soft board. 
  3. Hasil kerja murid dipamerkan.  

Bilik darjah berasaskan mata pelajaran (Subject-based Classroom - SBC) 
  1. Murid duduk dalam kumpulan (4 – 6 orang).
  2. Mata pelajaran yang dicadangkan ialah mata pelajaran teras atau kritikal
  3. Jika boleh, dilengkapi komputer yang dirangkaikan ( 2 atau 3 unit) – Instant Access/ Interactive / dilengkapi LCD dan / atau direct projector / Papan putih / soft board.
  4. Hasil kerja murid dipamerkan.
  5. SBC ini juga sesuai dilaksanakan oleh sekolah kurang murid (SKM) / kelas yang mempunyai murid melebihi 25 orang / mempunyai banyak kelas kosong
  6. Bilik darjah ‘terbuka’ (Outdoor Classroom)
  7. Lorong bermaklumat
  8. Ruang santai

KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL (PLC)

Pemilihan PLC sebagai asas pelaksanaan Pembelajaran Abad Ke-21 merupakan usaha komprehensif Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk memantapkan penyampaian pendidikan bagi meningkatkan pencapaian murid.  PLC merangkumi aktiviti-aktiviti kolaboratif peringkat sekolah dan juga  pihak sekolah dengan komuniti luar. PLC menyediakan peluang berlakunya aktiviti perkongsian ilmu, kepakaran dan partnership. 

Secara amnya, PLC merujuk kepada usaha para pendidik yang komited bekerja secara kolaboratif serta berterusan untuk membuat inkuiri atau kajian tindakan bagi mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka (DuFour, Eaker & Mary, 2006)

Terdapat tiga (3) Prinsip asas PLC yang perlu diberi keutamaan iaitu memastikan pembelajaran murid, berlakunya budaya kolaboratif dan berfokuskan kepada pencapaiaan.

Beberapa strategi PLC perlu dibangunkan dan dirancang oleh sekolah bagi memastikan Pembelajaran Abad Ke-21 dapat dilaksanakan dengan berkesan.  Antara strategi pembangunan PLC yang dicadang dilaksanakan pada peringkat sekolah atau kluster PLC ialah: 
  1. Jejak Pembelajaran (Learning Walks)
  2. Bimbingan Rakan Sebaya Guru atau Pembimbing Instruksi
  3. (Peer Coaching  / Instructional Coaches)
  4. Belajar Menggunakan Rancangan Pengajaran Harian (Lesson Study)
  5. Sesi Perkongsian Guru (Teacher Sharing Sessions)
  6. Perkongsian amalan terbaik (Best practises)
  7. Pengajaran secara kolaboratif (Collaborative Teaching)
  8. Sistem Sokongan Rakan Sekerja (Buddy Support System)
  9. Coaching Partnership
  10. Cross visits