Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
Mengapakah perlu?:
Kepelbagaian budaya masyarakat
Malaysia mewujudkan persekitaran semula jadi yang
kondusif untuk melahirkan murid yang mahir dalam
lebih daripada satu bahasa. Sistem pendidikan semasa
dapat meningkatkan keberhasilan murid melalui
bahasa Malaysia. Penguasaan kemahiran berbahasa
Malaysia adalah meluas dalam kalangan murid, dengan
75% murid mencapai tahap minimum kredit dalam
peperiksaan SPM 2010. Bahasa Malaysia sebagai
mata pelajaran teras dalam UPSR kekal berada pada
tahap kadar lulus yang tinggi. Pencapaian yang sama
wujud di peringkat PMR dan SPM. Tahap pencapaian
penggunaan bahasa Inggeris bagaimanapun adalah
jauh lebih rendah, hanya 28% murid mendapat kredit
minimum dalam kertas Bahasa Inggeris SPM tahun
2011 yang ditanda berdasarkan standard Kertas
1119 Cambridge. Kelemahan penguasaan kemahiran
berbahasa Inggeris dalam kalangan siswazah baharu
merupakan satu daripada lima isu yang sering dihadapi
oleh majikan di Malaysia sejak tahun 2006.
Penyertaan murid dalam sekolah rendah yang berlainan
membawa kepada keberhasilan yang berbeza dalam
kalangan murid pelbagai etnik. Murid Bumiputera
menunjukkan pencapaian yang baik dalam Bahasa
Malaysia, iaitu 84% mendapat kredit minimum dalam
SPM, berbanding 63% daripada murid Cina dan 57%
daripada murid India. Bagi mata pelajaran Bahasa
Inggeris, hanya 23% murid Bumiputera, 42% murid
Cina dan 35% murid Tamil memperoleh tahap skor
yang sama atau lebih tinggi daripada skor untuk Kertas
Cambridge 1119 (semua keputusan berdasarkan
peperiksaan SPM 2010).
Apakah bentuk kejayaan?: Meningkatkan kemahiran
penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris
semua murid akan menjadi keutamaan yang paling
penting. Selepas tiga tahun persekolahan, setiap
murid akan mencapai 100% literasi asas dalam bahasa
Malaysia dan bahasa Inggeris. Setelah tamat Tingkatan
5, 90% daripada murid dijangkakan memperoleh skor
kredit minimum dalam Bahasa Malaysia, manakala 70%
memperoleh skor kredit minimum dalam kertas Bahasa
Inggeris SPM (berdasarkan standard Cambridge
1119). Tambahan lagi, penyediaan mata pelajaran
bahasa lain di semua sekolah rendah dan menengah
akan diperkukuhkan supaya setiap murid berpeluang
mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025.
Memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang
sama pada peringkat rendah, dengan sokongan
pemulihan intensif untuk murid yang memerlukan
bagi menggantikan kelas Peralihan. Setiap murid sekolah
rendah, sama ada di sekolah kebangsaan atau sekolah jenis
kebangsaan akan menggunakan kurikulum bahasa Malaysia
yang standard mulai kohort Tahun 4 pada tahun 2014. Di
sekolah jenis kebangsaan, murid yang menghadapi masalah
dengan perubahan ini akan mengikuti kelas pemulihan bahasa
Malaysia selepas waktu persekolahan bermula dari Tahun 4
hingga Tahun 6, selepas menjalani program Saringan Literasi
dan Numerasi (LINUS) 2.0. Objektif kelas pemulihan ini
adalah sebagai intervensi awal, dan kerap dijalankan bagi
membolehkan Kelas Peralihan ditamatkan mulai tahun 2017.
Memperluas program LINUS supaya meliputi literasi
Bahasa Inggeris. Setiap murid Tahun 1 hingga Tahun 3 akan
disaring dua kali setahun bagi memastikan kemajuan mereka
dalam literasi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris berada
pada kadar yang dijangkakan. Murid yang ketinggalan akan
mengikuti kelas pemulihan sehingga mereka dapat mengikuti
kurikulum aliran perdana. Guru yang mengajar murid
yang lemah ini akan menerima bimbingan khusus daripada
pembimbing guru peringkat daerah.
Meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dan
memperluaskan peluang bagi pendedahan terhadap
bahasa Inggeris. Setiap murid akan mengikuti pembelajaran
bahasa Inggeris yang disampaikan oleh guru yang mempunyai
kemahiran mengikut standard antarabangsa.
Langkah ini
akan dapat dicapai dengan memastikan semua 70,000
orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test
(CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai
standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif
bagi meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan
diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa melalui
modul Sastera Inggeris yang diwajibkan kepada murid sekolah
menengah. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa tempoh
pendedahan yang lebih lama berbanding kadar kini (15%-20%)
diperlukan bagi murid menguasai bahasa Inggeris.
Menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa
tambahan menjelang 2025. Pada masa ini, ramai murid
yang telah mempelajari bahasa tambahan selain bahasa
Malaysia dan bahasa Inggeris.
Penguasaan bahasa tambahan
akan dapat membantu murid menyertai tenaga kerja global.
Oleh itu, aspirasi Kementerian adalah bagi memastikan
setiap murid berpeluang mempelajari bahasa tambahan
dari peringkat rendah sehingga peringkat menengah. Pada
tahun-tahun permulaan, Kementerian akan memberikan
tumpuan untuk menambahkan bilangan guru bahasa Cina,
bahasa Tamil dan bahasa Arab bagi memastikan bilangan guru
bahasa-bahasa itu sepadan dengan bilangan murid. Apabila
sistem pendidikan negara dapat meningkatkan kebolehan
dan keupayaan, Kementerian akan memperkenalkan bahasa
penting lain seperti bahasa Sepanyol, bahasa Perancis dan
bahasa Jepun.
Membangunkan murid secara holistik dengan
mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam
1 Sukan, 1 Kelab dan1 Badan Beruniform. Pelibatan
dalam aktiviti kokurikulum memberikan murid peluang untuk
membangunkan bakat dan minat mereka di luar persekitaran
bilik darjah yang formal. Aktiviti seperti ini juga menyediakan
peluang yang baik untuk membangunkan kemahiran
kepimpinan murid. Oleh itu, setiap murid dijangkakan akan
mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 1 sukan,
1 kelab dan 1 badan beruniform. Kementerian juga akan
mengkaji kemungkinan mewajibkan pelibatan ini sebagai
syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat
pengajian tinggi. Bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang
ditawarkan di setiap sekolah, Kementerian akan memberikan
latihan khas kepada guru penasihat aktiviti. Kerjasama dengan
lebih banyak organisasi komuniti dan sektor swasta akan
dijalinkan bagi melaksanakan program ini.
Pada hari ini,
Kementerian menjalankan program aktiviti rentas sekolah,
iaitu RIMUP bagi memupuk interaksi yang lebih kukuh antara
murid dari berlainan jenis sekolah. Pada masa hadapan,
kekerapan dan intensiti program akan ditingkatkan dan
disasarkan kepada sekolah yang mempunyai populasi murid
yang homogen seperti sekolah jenis kebangsaan dan sekolah
agama. Kementerian juga akan memperluaskan program ini
dengan melibatkan sekolah swasta.
Anja
No comments:
Post a Comment