Mentransformasi profesion
keguruan menjadi profesion pilihan
Mengapakah perlu?:
Kajian antarabangsa menunjukkan
bahawa kualiti guru merupakan faktor berasaskan
sekolah yang paling signifikan dalam menentukan
keberhasilan murid. Kualiti sistem tidak boleh
melangkaui kualiti guru. Walaupun terdapat guru
yang cemerlang dalam sistem pendidikan Malaysia,
kajian tahun 2011 mendapati bahawa hanya 50%
pengajaran disampaikan dengan berkesan.
Hal ini
bermakna pengajaran mata pelajaran tidak melibatkan
murid secukupnya, dan penyampaiannya lebih pasif.
Mata pelajaran yang diajar lebih berfokus kepada
pemahaman yang tidak mendalam dan tidak memberi
tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi. Statistik
ini juga menunjukkan cabaran besar yang dihadapi
kerana lebih kurang 60% guru pada hari ini akan terus
mengajar bagi tempoh 20 tahun lagi.
Apakah bentuk kejayaan?: Profesion keguruan akan
menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan
dibuat hanya dalam kalangan graduan 30% terbaik
dalam negara untuk menceburi bidang keguruan.
Guru
pelatih akan menerima latihan yang sebaik mungkin
dari mula mereka mengikuti program latihan sehingga
mereka bersara. Mereka akan memperoleh peluang
pembangunan kerjaya yang menarik merentas beberapa
laluan kerjaya, dengan kemajuan berasaskan prestasi
dan kompetensi, bukan bergantung kepada tempoh
perkhidmatan. Sistem pendidikan akan mewujudkan
budaya bimbingan rakan sejawat untuk meningkatkan
kecemerlangan profesional menerusi pementoran,
pembangunan dan perkongsian amalan terbaik, serta
meningkatkan kebertanggungjawaban rakan sejawat
dalam memenuhi standard profesional kerjaya.
Mengetatkan syarat lantikan guru mulai 2013
supaya dalam kalangan graduan 30% teratas. Pada
masa depan, hanya calon terbaik sahaja yang akan dipilih
untuk mengikuti latihan perguruan. Hal ini bermakna
Kementerian akan melaksanakan standard kemasukan ke
profesion keguruan yang ketat bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi
syarat kelayakan minimum akademik.
Kementerian akan
bekerjasama dengan KPT bagi memastikan standard yang
sama digunakan dalam program latihan perguruan di institut
pengajian tinggi awam. Bagi memenuhi hasrat melahirkan
guru berkualiti, Kementerian juga akan bekerjasama dengan
Institut Pendidikan Guru dan KPT untuk memastikan kualiti
kurikulum dan pensyarah ditingkatkan.
Meningkatkan kualiti CPD mulai 2013, dengan lebih
tumpuan ke atas keperluan individu dan latihan
berasaskan sekolah. Guru akan menerima sokongan
yang lebih besar untuk membantu mereka mencapai potensi
penuh. Guru akan mendapat latihan CPD individu daripada
penyelia mereka apabila memulakan profesion.
Program
CPD termasuk latihan komponen teras dan komponen elektif
mengikut keperluan pembangunan diri masing-masing.
Kebanyakan program ini akan dijalankan di peringkat sekolah
kerana latihan berasaskan sekolah terbukti sangat berkesan.
Program ini akan menggunakan jaringan rakan sejawat
termasuk pembimbing guru, guru kanan, dan pengetua/
guru besar untuk menyebar luas amalan terbaik. Latihan ini
membolehkan guru terus meningkatkan tahap kemahiran
mereka selaras dengan tahap kecekapan yang jangkakan
daripada seseorang guru.
Memastikan guru memberi tumpuan ke atas fungsi
teras pengajian mulai 2013 dengan mengurangkan
beban pentadbiran.
Guru akan menikmati pengurangan
beban tugas pentadbiran supaya mereka boleh menumpukan
sebahagian besar masa mereka pada fungsi pengajaran teras.
Perkara ini akan dapat dicapai dengan memperkemas dan
mempermudahkan proses pengumpulan dan pengurusan data
sedia ada. Sesetengah tugas pentadbiran akan diserahkan
kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru
pentadbiran peringkat sekolah.
Guru akan
ditaksir secara tahunan oleh pengetua/guru besar mereka
dengan menggunakan input yang mungkin diberikan oleh
rakan sejawat. Pentaksiran ini akan dilaksanakan dengan
menggunakan instrumen penilaian baharu, yang memberi
Antumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran
secara berkesan di dalam dan di luar bilik darjah. Instrumen
baharu ini memberikan gambaran yang lebih jelas bahawa
tugas utama guru adalah membantu pembelajaran murid.
Guru berprestasi tinggi akan menikmati kemajuan kerjaya
yang lebih pantas. Guru yang cemerlang mungkin akan
dinaikkan pangkat daripada gred DG41 kepada DG54
dalam tempoh lebih singkat, kurang daripada 25 tahun
yang merupakan purata kenaikan pangkat semasa. Guru
yang menghadapi kesukaran dalam mencapai tahap
kualiti minimum akan diberikan bimbingan tambahan
bagi membantu mereka berada pada landasan yang betul.
Guru yang masih gagal mencapai tahap kualiti minimum,
walaupun telah diberikan bimbingan tambahan, akan
ditugaskan semula untuk menjalankan fungsi yang lain seperti
membantu pentadbiran, pengurusan disiplin atau pengurusan
kokurikulum. Dari semasa ke semasa, Kementerian akan
mengurangkan jumlah kohort guru secara berperingkat
melalui penambahbaikan dalam penggunaan masa dan
produktiviti guru.
Guru juga boleh memilih untuk
meneruskan laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi,
potensi dan minat mereka. Sebagai contoh, mereka boleh
memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan di peringkat
sekolah, daerah, negeri atau persekutuan. Mereka juga boleh
memilih untuk menjadi pakar dalam bidang tertentu seperti
pembangunan kurikulum, pentaksiran, dan program latihan
untuk sistem yang lebih luas. Mereka juga boleh berperanan
sebagai guru pakar di sekolah. Tanpa mengira laluan kerjaya
yang dipilih, komitmen untuk melabur dalam pembangunan
guru dan dalam membina persekitaran kebertanggungjawaban
profesional akan diteruskan dalam semua laluan kerjaya ini.
Peluang untuk kenaikan pangkat adalah sama tanpa mengira
laluan kerjaya yang dipilih.
Membudayakan kecemerlangan berasaskan
pimpinan rakan sekerja dan proses pensijilan mulai
2025. Kementerian akan memberikan tumpuan kepada
usaha memastikan semua guru menggunakan sepenuhnya
keluwesan yang diberikan dalam isu berkaitan penjadualan kurikulum, penyusunan pengajaran, pendekatan pedagogi
dan pentaksiran berasaskan sekolah. Kementerian juga
memudahkan aktiviti CPD yang dilaksanakan oleh guru
bagi membolehkan guru membimbing satu sama lain,
membangunkan dan menyebarluaskan amalan terbaik,
dan sama-sama bertanggungjawab bagi mencapai standard
profesional. Kementerian juga akan mempertimbangkan
untuk mewujudkan skim pensijilan yang dikaitkan dengan
penguasaan kecekapan guru seperti yang diterangkan di atas.
Dengan semua langkah ini, Kementerian akan berkerjasama
dengan wakil guru untuk memastikan matlamat tercapai.
No comments:
Post a Comment